Nuffnang Ads

Saturday, 26 February 2011

hari ini

hari ini
telah lupus segala indera
jasad kian lemah
bagai patah tulang belulangnya
meracik sendi-sendi
yang dulu tegak berdiri

hari ini
jiwa yang dulu subur
telah pun tandus gersang
tugu yang terpahat nama
telah menyungkur menjadi puing
sebagai tanda aku pernah ada.

Wednesday, 23 February 2011

gadis jelita dan bapa tua yang buta

di suatu hari
dalam hening rembang senja
seorang gadis indah paras
mencuri sorot pandang mataku
bagai ada cerita sebalik senyumnya

getar hati rasa terharu
melihat gadis bersama bapa tua
betapa aku merasa terpana
bapa gadis matanya buta
cahaya hanya kenal nama

sungguh gadis besar jasa
setia memimpin bapa tua
wahai gadis sungguh kau mulia
menjadi indera bapa  yang buta
sana ke mari dipimpin bersama

kelak kau kan berbahagia
bakti budimu sebesar dunia
sungguh untung bapa tua
punya anak setia bersama
penyuluh jalan dunia yang gelita.


p/s: buat gadis dan bapa buta yang aku ketemu di stesen minyak Lavender Heights tempoh hari.

Tuesday, 22 February 2011

tukar baju

Nampak.Macam aku,macam kita.Tukar baju setiap hari dan ubah pesen setiap kali bila kita rasa orang dah jemu dan muak asyik pandang benda yang sama.Supaya badan tak berbau dan penampilan sentiasa nampak kemas.

Lepas mandi,sembur minyak wangi,pakai deodoran serta sarung baju baru dan baru boleh jalan.Selesa.Orang pun pandang senyum-senyum buat kita rasa kacak atau ayu.(walaupun bukan;perasan lebih)

Begitulah kurang lebih.


p/s:aku cuma nak cerita yang layout blog ni dah bertukar rupa.Tu je.Jelas kan?hehe

Sunday, 20 February 2011

tanya pada diri : ulang siar

saat termenung sejenak.
pernahkah kau berfikir akan hidupmu
sekadar cukup menghela nafas
atau kerdip matamu..

..........

antara hedonisme datang melanda
dan bila pluralisme makin menggila
dimana kau letak imanmu
dimana kau tanam malumu.
dimana nafi
dimana isbat
sedangkan apa yang datang semua kau rembat
apa yang melintang habis kau sebat

.............

kau lalai pada syariat,
enggan pada tareqat
kabur pada hakikat
dan kau butakan matamu mengenal maqrifat
sedang kau berharap pada syafaat


...........


sekali lagi aku tanyakan
antara hedonisme datang melanda
dan bila pluralisme datang menggila
dimana letak dirimu
sedang keperawanan jiwa,akal dan hatimu
telah kau gadai kepada nafsu...


..............
demi masa berlalu antara saat
waktu dunia makin tenat
sedang engkau dihanyut maksiat
dibuai gelombang nikmat
kau bangga dipuji hebat
enggan dilihat bangsat
marah ditegur sesat!!!

p/s:ini adalah puisi ulang siar.

sunyi sepi

Tengah malam.Awal pagi sebenarnya..Pandang kiri kanan.Sepi.Tenang dan sunyi bersatu menemani aku yang keseorangan mengetuk papan kekunci dengan jari.

Terasing terhumban ke alam sunyi ni kadangkala cukup indah bagi aku.Bagai hanya aku jasad yang tumbuh dan serasa dunia aku yang punya.Tapi itu kadang-kadang.

Seringkali sunyi sepi juga menghambat jiwa aku dan menyesakkan rasa kebosanan ke dalam jiwa yang di tambah perisa oleh nafsu.Ah!Manusia kan selalu begitu.

Tapi sunyi sekali ini adalah sunyi sepi yang memberi aku ketenangan.Sunyi dalam suasana kampung jauh dari latar hidup aku sewaktu bekerja Isnin hingga Jumaat.Indah dan damai menelusuri salur darah aku setiap kalinya aku menjejak kaki di kampung setiap hujung minggu.

Biarlah selamanya sunyi sepi ini menyambut kepulangan aku selepas ini supaya boleh aku lontarkan jauh-jauh rasa-rasa curang dan sakit dunia yang aku kumpul.Sekurang-kurangnya ringan beban jiwa kacau yang aku tanggung.


p/s :aku suka suasana kampung yang melambai aku setiap hujung minggu.Setiap hari aku membelai rasa rindu pada kampung halaman ibarat orang yang asyik berkasihan.