Nuffnang Ads

Sunday, 14 August 2011

masa-masa yang terlepaskan

Alangkah ruginya.
Baru sekarang aku terfikir sedangkan sudah lama berulangkali di peringatkan.

Diam.
Termenung sejenak.
Fikir dalam-dalam.

Sesal,sebak dan risau bercampur baur bilamana akal mencerna dan bayangan yang terkisahkan dalam kotak mindaku seputarnya memainkan masa-masa yang terlepaskan.

Bodoh.
Menyesal mengherdik diri.
Rugi.

"Sepanjang hayat ini sebenarnya kita cuma ada satu hari saja"
"Semalam sudah berlalu"
"Esok belum pasti".

Friday, 5 August 2011

kisah yang terlupakan

garis-garis masa
kisah kita
berbekas parut luka
ada tawa suka walau sebenarnya
aku adalah yang mudah di terlupakan

rajukku semalam
merengsa jiwa
oh Tuhan
renggutlah nyawaku sekelip pejam
aku tak ingin mati perlahan


Thursday, 21 July 2011

bebelan kosong

Lewat kebelakangan ini aku rasa dunia makin tua dan penuh berantakan.
Lihatlah.
Lihatlah keliling dan hadamkan apa permasalahan yang tergambar di fikiran setelah akal waras mencerna hadam melalui pandangan mata.

Tentu saja kalian juga bingung kerana manusia seperti kita-kita ini tidak pernah surut dalam hidupnya membikin onar dan merosak warna putih corak batiniah dirinya sendiri.Mahukah kita jadi sebahagian kerosakan dan cacamerba yang mengatur kemusnahan di muka bumi sekaligus melenyapkan peradaban kemanusiaan yang menuntut segala kebaikan dan sejahtera.

Kita-kita ini seringkali jadi mangsa percaturan manusia lainnya yang mendabik dada angkuh dan penuh ujub akan kebijaksanaan memanipulasi kelemahan manusia lainnya khususnya yang lemah seperti kita-kita ini.

Dan begitu pula entah di mana silap dan bodohnya kita-kita ini seolah-olah telah ada rencana minda di kepala yang mengiyakan segala bentuk kerosakan itu.Kerosakan halus yang luarannya indah namun berselaput lumut hitam berselut noda yang mencemar minda kepala dan jiwa.

Sedarlah.
Aku berpesan pada diri sendiri dan lainnya agar sama-sama menilai kelemahan diri dan saling pula hendaknya kita-kita ini berkasih-sayang dan memperkuatkan antara satu sama-lain.

Kerana manusia itu takkan sesekali pernah merasa puas dengan apa yang ada.
Kalaulah syukur itu ada walaupun sedikit maka tiadalah kerosakan dan peperangan yang terhasil dari tangan atau lidahnya.

Aku cuma bermonolog.
Lebih kepada bebelan kosong sebenarnya.
Kerana bagi aku dunia adalah tempat menyebarkan cinta,mengumpul amal pahala dan bukan mengatur sengketa celaka.

Friday, 8 July 2011

sejuta salut

duhai kawan,
janganlah kita-kita ini begitu cepat merasa suka,
musim temasya belum bermula,
baru menapak langkah pertama,
sedang impian jauh dari nyata,
kerana ada mata yang curiga,
di dalam hati merasa iri,
sentiasalah mereka ingin mencerca mendatang bencana,
hingga seorang tua dan puisi dikata mengancam nyawa.

p/s: aku dedikasikan pada kawan-kawan dan sejuta salutku untuk  Pak Samad 

Monday, 27 June 2011

nota dari lorong

Seorang anak muda berteleku mindanya dalam suatu keheningan malam sunyi.Seputar fikir akal cetek ligat memerhati dunia kelilingnya.Ditangan menyepit sumber selera nikotin dan di sebelah tangan lagi sebatang pena dan buku kecil pencatat nota lusuh hidupnya.

Siang di sini hingar-bingar tingkah kelaku manusia,malam pula hanya hanyir bau badan bermandi lelah siang hari tadi.Akal muda dan mentahnya menafsir ada semacam kegilaan di tengah-tengah daerah kota batu ini.

Anak muda itu pernah ingin lari jauh namun langkah kaki longlai bagai tak terhayunkan.Dan kini dia kembali berlari-lari anak mengejar angan di tengah runtuhan puing-puing moral bangsanya.

Hanya satu perkara terselit di mindanya tika itu.Lalu berkatalah hatinya kepada sekitar batuan pejal beracuan tamadun atas runtuhan kemanusiaan itu.

"Aku tidak datang kepadamu untuk sujud dan memberhalakan kemewahan darimu,aku kembali kerana ingin menuntut bahagianku yang tersimpan dalam khazanah di gedung-gedung di sekitarmu"