Nuffnang Ads

Monday 19 November 2012

Gaza (siapa peduli )

peluru-peluru berapi menghujani
yang dimuntahkan senjata nafsu amarah sang laknatullah
lantas bumi suci ini kembali basah bermandi darah
namun resah,esak tangis kami-kami ini
hanyalah bahan tontonan
esok lusa di catat sejarah

dimanakah ayah dan ibu
dimanakah saudara sepermainan kami
baru sebentar tadi kami bermesra
baru usai tadi kami  berceritera
tentang impian aman
entah bila

bagaimanakah tidur kami malam ini
bila tiada lagi dodoi ibu meriba kami
bila tiada lagi ayah berkisah cerita
betapa bumi ini dulunya pusaka agama
wajar dipertahan berganti nyawa

ayah pernah bercerita
manusia seagama itu bersaudara
tanah ini juga milik bersama
tapi kami masih anak-anakan kurang mengerti
kerna hingga ke saat begini
kami masih sendiri.








Monday 24 September 2012

jalang

aku manusia jalang
tak di seru aku datang

aku manusia jalang
bila di undang
aku hilang

aku manusia jalang
orang menjulang
aku menentang.



Saturday 28 July 2012

Kita kalah atau kita menang.

Alhamdulillah.
Kembali berhasil menjengah ke lapangan menulis tempat menumpah rasa.Lama juga tiada sebarang perkhabaran yang mampu aku coret di sini lantaran kesibukan menempel di lain ruangan santai alam maya.Twitter misalnya.
Lihatlah di sisi blog ini juga telah aku tempel medium bicara kicauan mengarutku.

Begini.
Sebenarnya aku pun terpanggil malam ini untuk menulis di blog kusam lagi bersawang ini pun hanya kerana suatu suasana yang menggangu rasa dan menghibakan jiwa aku tatkala kita di sini berhadapan cabaran kecil berpuasa yang di rasakan cukup payah untuk di laksanakan.

Masih jauh lagi rasanya penghayatan kau,aku dan kita-kita semua ini tentang realiti menghargai nyawa dan rasa sayang sesama manusia.
Itulah antara tujuannya dianjurkan puasa selain menilai sejauh mana kekuatan dalaman bernama iman.
Supaya kau aku atau kita-kita semua ini lebih faham erti derita dan rasa syukur sebesar mana.
Bukankah begitu.?
Terpulang jika mahu setuju atau bangkang lalu ingin menunjal kepalaku.

Kita rasa terseksa menahan lapar dahaga sedangkan saudara mara kita di lain-lain negara dan benua terseksa menahan amarah dan berhabisan mempertahan agama dan mempertaruh nyawa.
Syria misalnya dan terbaru penderitaan muslimin Rohingya di Myanmar yang berdepan pembantaian berleluasa.

Sedihkah atau baca dan lihat sekadar mengambil tahu itu terpulang kamu untuk apa yang akan kamu iktibarkan pada diri sendiri.Andaikan kita-kita ini ada merasa bersama-sama penderitaan mereka itu.
Cukuplah membayangkan begitu saja.

Entahlah.
Dalam nyaman suasana dengan meriahnya makanan berbuka menjamu nafsu,aku sendiri tidak rasa aku mampu berhadapan dugaan sebesar itu.
Kita disini sering saja tewas dengan juadah yang menggoda mata dan selera

Selamat menjalani ibadah Ramadhan kawan-kawan.

Harapnya masih ada kemenangan untuk kita rai nanti.

Sunday 8 April 2012

Tanya pada malam

Oh malam
Tidakkah kau bersimpati pada insan –insan sepi
Oh malam
Tidakkah kau kasihan pada anak gelandangan kelaparan menunggu siang
Oh malam
Tidak cukupkah kau dodoikan pembesar buncit perutnya kenyang
Oh malam
Apakah saksimu pada abid memuji Tuhan
Oh malam
Di manakah sembunyi mentari tadi siang
Oh malam
Jawablah pertanyaanku
sebelum aku hilang kau telan.

Monday 26 March 2012

senyuman itu cantik dan cantik itu adalah senyuman

Kalau di tanya pada aku cantik itu bagaimana pasti jawapan yang korang terima takkan sama macam yang di jawab manusia lainnya.Aku rasa aku manusia pelik.
Aku tidak tahu menilai cantik.
Aku tidak tahu mana yang jelik dan apa yang aku tahu aku saja yang pelik.
Pelik bukan?

Bagi aku cantik manusia itu pada senyuman.Tak kisahlah senyum kecil atau senyum lebar.
Senyum manusia kecil atau senyum manusia besar.
Senyum itu indah dan sedekah.
Manusia yang sering tersenyum itu kan manusia yang nampak ikhlas bila terlihat pada zahir wajahnya.
Indah bukan?
Rupa sering menipu namun senyum ikhlas datang dari hati.
Walau senyum selalu menyembunyi kesumat atau jiwa berduka.
Asalkan senyum saja sudah nampak manis biarlah wajah kurang menarik atau tak sekacak mana.

Senyum itu universal.
Senyum itu percuma dan mengindah rupa.
Senyuman itu cantik dan cantik itu adalah senyuman.
Tak percaya?

Lihatlah cermin dan senyum sendiri.
Apa rasanya?

Sunday 18 March 2012

KL-Putrajaya-Banting-KL

Aku nyalakan sebatang rokok.Pekat malam beraroma nikotin segar.
Insan di sebelahku aku kerling dengan hujung mata.
Sipi-sipi.
Aku tau dia tak selesa.Batuk-batuk kecil kedengaran.Jalan di hadapan kelihatan kenderaan beratur panjang.
Ada kemalangan agaknya.
Tingkap kereta aku buka luas-luas.Biar asap sigar  berputar terus keluar.
Jam di tangan hampir menunjuk jarum tengah malam sedang kami masih atas jalan.

Maaflah sayang.
Aku sering tersalah jalan terlepas simpang.
Namun untungnya kita masih tahu jalan pulang.

Wednesday 7 March 2012

kamu itu bintang yang terang

Ada masanya aku suka mengira masa yang sudah lepas terkebelakangkan.Cukup buat peringatan pada diri sendiri apa adanya cabaran yang telah di lalui dan boleh pula memandang kira berapa banyak parut luka.
Kira jua banyak mana piala jadi juara.

Dulu aku juga fikir bintang itu ada banyak.Mungkin beribu atau jutaan barangkali.Agaknyalah.
Tapi itu dulu-dulu.Cerita lama.

Mungkin dulu aku kurang mengira dan kurang mahir berkira-kira rasanya.
Kerana aku tetap keliru kiraan selama ini telah silap.

Baru sekarang aku tahu bahawa bintang itu zahirnya hanya satu.

Itulah "kamu".
Masih lagi akan aku tersenyum setelah aku congak tolak tambah bahagi hanya "kamu ' yang terang benderang .
Kali ini tak akan silap lagi rasanya perkiraan aku.
Harap-harapnya.
Mudah-mudahan dengan izin Tuhan.

Monday 9 January 2012

maaflah

Kiranya ada antara sifat dulu aku yang dah berubah aku mohon maaf.Mungkin kamu tersedar dan terperasankan semua itu.
Maaflah.
Mungkin perubahan aku terdorong oleh keburukan masa lalu.Mungkin juga perubahan ke arah yang lebih baik.
Hanya sedikit agaknya.

Aku bukan manusia suci.
Maaflah kawan-kawan.
Andai saja aku sudah berubah dan dingin.